Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Perdana Menteri Iraq, Haidar al-Abadi menggesa penduduk tempatan Niniveh untuk bersiap sedia menyambut operasi pembebasan wilayah mereka dari anasir pengganas ISIS. Beliau juga turut memberi amaran tindakan keras akan diambil kepada para pegawai yang bersubahat dalam memperdagangkan darah rakyat.
Abadi turut menganggap gerakan militan ISIS sudah lemah dan tidak lama lagi akan dikalahkan.
"Samseng-samseng ISIS sedang menghadapi kekalahan yang nyata selepas kejayaan wira-wira negara di Fallujah. Anggota ISIS tidak dapat melarikan diri walaupun melalui jalan padang pasir," katanya dalam mesyuarat bersama Kementerian Dalam Negara pada hari Jumaat.
Abadi percaya, serangan terbaru di Karrada bertujuan membalas dendam terhadap kemenangan tentera Iraq.
"Serangan pengganas di Karrada bertujuan membalas dendam terhadap kemenangan kami di Fallujah yang menarik perhatian dunia.
"Mereka bergantung kepada bahan letupan secara pengecut dan menjadikan orang awam sebagai sasaran. Dengan cara ini, mereka mahu membuktikan bahawa mereka masih hidup dan mempunyai pengaruh dalam rangka ingin mendapatkan sokongan dana serta menarik pengganas lain bergabung dengan mereka," jelas beliau.
Sambil memberi amaran kepada para pagawai yang terlibat dalam rasuah, beliau berkata, "Terdapat orang yang memperdagangkan darah rakyat Iraq demi habuan politik tatkala kita harus bersatu menentang terrorisme yang menjadikan kita sebagai sasaran."